Monday, July 3, 2023

Salah DAP lagi

 1. Saya merujuk kepada kenyataan terbaru Tun Dr. Mahathir Mohamad bertarikh 3 Julai 2023 yang membuat dakwaan melulu tanpa asas terhadap DAP.

2. Dakwaan tidak berasas beliau kononnya DAP dengan kedudukan 40 kerusi Parlimen dalam kerajaan hari ini akan mengugut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi dengan tanpa agama rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan adalah satu tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab. 

3. Saya dengan tegas mengulangi pendirian DAP bahawa semua Ahli Parlimen DAP akan mempertahankan semua perkara asas dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk menghormati kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan pada masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai seperti termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.

4. DAP tidak pernah dan tidak akan mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

5. Saya berasa amat kecewa dengan dakwaan Tun kononnya DAP akan mengugut Perdana Menteri. Apakah beliau sudah lupa bahawa semasa beliau menjadi Perdana Menteri dari Mei 2018 sehingga Februari 2020, beliau didokong oleh 42 Ahli Parlimen DAP? Adakah DAP pernah menarik sokongan daripada beliau atau mengugut kedudukannya?;

6. Sejak negara mencapai kemerdekaaan, Malaysia terkenal sebagai sebuah negara berbilang kaum yang dapat hidup bersama secara aman. Adakah Tun lupa berkenaan visi beliau untuk melahirkan Bangsa Malaysia melalui Wawasan 2020? Mengapa hari ini beliau sanggup mengambil satu pendirian yang begitu bermusuhan dengan masyarakat berbilang kaum di Malaysia? 

7. DAP tidak akan bermusuhan dengan mana-mana kaum. Kita akan terus berkhidmat demi negara dan memainkan peranan untuk membina sebuah masyarakat yang bersatu padu berasaskan prinsip-prinsip Rukun Negara.

8. Tun Dr. Mahathir tak perlu bimbang. Malaysia akan sentiasa kekal sebagai anggota OIC di bawah Kerajaan Perpaduan. 

LOKE SIEW FOOK

SETIAUSAHA AGUNG DAP

3 JULAI 2023

No comments:

Post a Comment